Tuesday, 10 November 2009

[MESTI BACA] Dungukah Jais? Terburu-burukah Asri? - Azizi Abdullah | Nizar News




-Azizi Hj Abdullah

Semakin hari semakin menjadi isu perbalahan Dr. Asri dengan JAIS. Sampai jadi melalut-lalut. Yang lain tumpang sekaki. Penulis juga naik semak serabut. Apalah kita orang Melayu Islam ini. Benda sebesar tahi hidungpun, nak tunjuk juara dan kuasa, sampai mempelengongkan orang awam.

Jalan selesainya mudah. Pegawai JPJ bagaimana kualitinya pun dalam kerja hal-hal JPJ, kalau tak ada lesen memandu, dia tetap salah. Polis boleh tangkap. Tapi ingat, ilmu JPJnya tidak terjejas. Dia tetap pegawai yang mempunyai kepakaran pengurusan JPJ.

Air yang mengalir dari puncak gunung, meleleh turun melalui katur dan lurah, mengalir ke hulu sungai, mengalir ke batang kalinya, tidak boleh disekat dan di ampang begitu-begitu. Dan akhirnya air itu mengalir atau menerjah ke kuala. Di kuala mereka berkompol. Mereka tetap bernama air.

Dr. Asri diumpamakan pegawai JPJ yang tak ada lesen memandu. Titik. Pemikiran, aliran fahaman, ilmu yang dipelajari kemudian menjadi pegangan ada dalam otak Dr. Asri dan orang-orang yang seumpamanya. Ertinya mereka belajar. Bukan berguru; kepalang berguru bagai bunga kembang tak jadi. Masakan Profesor yang menjadi gurunya iblis? Masakan Universiti Jordan bangsal tunggu durian?

Kalaulah Dr. Asri akur dengan penangkapan kerana tanpa permit, kita fikir perkara ini selesai. Kalaulah JAIS pula tidak menunjuk ‘bodoh sombong’ yang ternyata menjadi tunggangan pihak lain, kita juga rasa hal ini tidak jadi melilau macam layang-layang putus tali.

Apabila membaca wawancara wartawan Utusan, Mohd. Radzi Mohd. Zin dengan AJK Pegawalan Aqidah Majlis Agama Islam Selangor, (MAIS) Mahfuz Muhamad, ternyata sarang tebuan yang dipelihara Dr. Asri telah dijolok. Mahmud Muhamad kita rasa telah menyorot pendangan dan pemikirannya ke 100 tahun ke belakang.

Dr. Asri mempertahan dari segi pemikiran. Ilmu ilmiahnya dan tidak salah sama sekali jika dia pegang sampai mati. Bukan tuduhan Wahabi yang penting, tapi apakah yang dipegang,yang diamal, yang diyakini dan yang menjadi aliran pemikirannya itu salah.

Kafirkah Asri kalau tak baca qunut solat subuh? Kafirkah Asri kalau tak baca talqin ayahnya meninggal? Zindiq atau mulhidkah Asri kalau tak buat tahlil?

Apakah syumul Islam jika budaya Israk Mikraj, Maulid, Marhaban dilakukan setiap tahun?

Kita hairan dalam rencam pemikiran kita melebar aliran pemikiran, berjuang kearah kebebasan berfikir, keterbukaan akal dalam agama, tiba-tiba kita disempit dengan hanya menerima petua dan kitab jumud hal-hal furuk atau cabang. Kita tinggal perkara asas.

Kita rasa cukup malu apabila ditimbulkan hujah hendak mematah tengkuk Asri dengan alasan membawa implikasi kepada syiriknya amalan Maulid, marhaban, menziarahi kubur dan tabarruk.

Ya Tuhan, kona mereng, cabut ceninin, tiba-tiba undur 100 tahun yang lalu. Tak pula berani bertegas tidak sah solat subuh di Mekah kerana tak ikut Syafiee, tak Ahlussunnah Waljamaah?

Tulisan ini bukan menidak aliran pemikiran Ahlussunnah Waljamaah ( saya lebih selesa menamakan aliran pemikiran dari hukum) dan tidak pula menyebelahi apa yang sangat elegik oleh JAIS, MAIS, iaitu Wahabi.

Tapi dari sudut ilmu dan ijtihad para ulama, apakah kita berpendapat Ahlussunnah Waljamaah saja yang betul, terpakai dan muktabar? Mau dilempar ke mana ilmu dan pemikiran ulama-ulama lain. Nak dihumban ke mana Hambali? Nak ditolak ke mana Hanafi dan ramai lagi pemikir, failasuf, ulama yang terdahulu yang tidak sealiran dengan Ahlussunnah Waljamaah.

Mahukah kita kata mereka tak terpakai? Mereka sesat? Mereka penghasut?

Mungkin orang akan menuduh, menolak Ahlussunnah Waljamaah bererti menolak Hadis Rasulullah, harapan Rasulullah. Tapi bagi kita, yang menjadi harubiru, caca merba dan pertelingkahan ini bukan itu, tetapi ketaksuban, kefanatikan kita tentang aliran pemikiran yang lebih terbuka.

Isu ini seingat saya sudah berlarutan di tahun 50an lagi. Penerbitan majallah Qalam sudah mendahului MAIS, mendahulu Mahfuz Muhamad.

Apakah MAIS atau JAIS beranggapan dengan menyekat dan menangkap orang yang beraliran berfikiran seperti ini membawa kebaikan dan ia satu kejayaan?

Hal Ehwal Agama Negeri Selangor selalu silap. Beberapa tahun yang lalu, ketika Datuk Rahman Palil jadi Pengerusi Agama Kerajaan Selangor (BN) ditangkap ahli Arqam (Rufaqa) kononnya ajaran sesat. Tapi yang ditangkapntya ialah mencungkil rumah kedai, menghimpun kueh baulu, karipap, kek yang dibuat oleh Rufaqa, seolah-olah ajaran sesat, seolah-olah Tuhan Rufaqa ada di kuih-kuih itu.

Mengawal aliran fikiran tidak seperti itu dan tak bukanrnya dengan cara menangkap orangnya. Aliran pemikiran seperti air yang mengalir. Ia seperti kepulan asap. Yang penting kita menafikan, berhujah dengan ilmu juga.

Apa salahnya aliran pemikiran begitu dibiarkan berkembang? Apakah mereka ini tidak mengucap? Apakah mereka ini menduakan Tuhan? Apakah mereka ini bersekongkol dengan ‘Ayah Pin?’ atau Rasul Melayu.

Ternyata JAIS atau MAIS tidak ada persediaan dalam usha membasmi apa yang mereka tidak suka aliran pemikiran seperti itu sama ada Ahlussunnah atau bukan, baik Wahabi atau Labu Labi. Dan apa yang mereka bertindak hanyalah kerana ‘tidak ngam’ bukan berdasarkan ilmu dan aliran pemikiran.

Kalau wawancara Mahfuz Muhamad AJK Pengawalan Aqidah MAIS diambil kira sebagai satu aliran pemikiran yang merbahaya, termasuk penangkapan Dr Asri juga dianggap membawa aliran pemikiran yang merbahaya, kita rasa MAIS, JAIS sekali lagi silap besar.

Ketika Arqam diharamkan, adakah aliran pemikiran Arqam itu berkubur? Hanya Asyari saja yang menjadi mangsa. Aliran pemikiran Arqam tetap hidup. Ketika hebuh buku Hadis Satu Penilaian Semula dan diharamkan, apakah pemikiran itu juga berkubur? Yang jelas ia merebak ke pusat pengajian tinggi.

Ada beberapa buku yang mencabar pemikiran umat Islam dijual secara terbuka, termasuk di Pustaka Indonesia Kuala Lumpur. Di antaranya Einstein Mencari Tuhan, Melalui Musik, Falsafah, Sains. 10 Filsuf Pemberontak Tuhan Dengan Argument Ateisme Modern, memperoalkan kenapa ‘ADA’ malah buku Unsur-unsur Menurun Dalam Persembahan Teater Melayu Tradisional oleh Dr. Amran Kasimin.

Juga novel ‘Tuhan Singgah Di Pelacuran’. Tahun enam puluhan dulu ada novel ‘Perjalanan Ke Akhirat oleh Jamil Suherman. Ada novel Atiehs malah buku-buku kerohanian. Tiba-tiba yang diharam hanya buku ‘Sembahyang Rasulullah’ oleh Abu Bakar Shaari yang kononnya dikatakan Wahabi.

Apa ni? Cerdik dan logikkah kita? Pada hal buku-buku pengaruhnya lebih dari Dr. Asri berceramah tanpa permit. Yang murtad bukan orang Perlis, tapi seorang gadis yang ikut boy freindnya.

Kalau beginilah sikap kita, yang berlegar hanya ke kawasan kenduri aruah, bacaan Yasin Malam Jumaat, Berzanji, Marhaban seolah-olah itulah tonggak Ahlussunah Waljamaah, mau ke mana umat Islam Malaysia?

Mempersoalkan bercanggah dengan hukum juga kita selalu ‘melepas pandang’ (bukan terlepas pandang.) Mana lebih bahaya (kalau benar) soal qunut solat subuh dengan doktrin agama dengan politik tidak sangkut paut. Mana lebih bahaya tidak tahlil dengan pengakuan isme atau aliran politik sekular lebih baik dari Islam? Mana lebih bahaya kenyataan Nik Aziz Umno tidak masuk syurga dengan tidak baca Fatihah ketika jenazah di usung?

Masukilah ke dalam rumah Umno dan Pas ketika membahas politik dan Islam. Tak seorang pun kata kafir atau murtad. Tak seorang pun kena tangkap.

Buka internet. Dalam bilik di rumah pegawai-pegawai JAIS dan MAIS pun ada. Mana lebih buruk dan bahaya terhadap Islam lebih dari Dr.Asri tak ada tauliah.

Inilah kita. Dalam masa kita hendak mencegah agar Islam itu terpelihara, agar aqidah itu terjaga, kita tidak sedar yang lebih dari itu kita tidak peduli.

Saya terlupa siapa yang menulisnya di dalam buku Dunia Yang Dilipat. Katanya lebih kurang begini:

Kita menanam pokok, tapi tak mengajak tanah. Kita menyuburkan tanah, tapi tak mengajak air.

Sumber : http://aziziabdullah.blogspot.com/2009/11/dungukah-jais-terburu-burukah-asri.html

1 comment:

  1. Salam

    Mazhab Imam Syafie, Imam Hambali, Imam Hanapi dan Iman Maliki. Kempat-empatnya adalah Ahli Sunnah Waljamaah.
    Apa masalahnya dgn Sunnah Waljamaah ni???

    Fahaman Wahabi tu, fahaman yg mcm mana?? Adakah dengan tak baca kunut, tahlil, talkin tu.. di kira fahaman wahabi??

    ReplyDelete

ANDA KOMEN ANDA TANGGUNG

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)