Fitnah Dan Adat Perjuangan
Oleh: Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Siapa tidak kenal Prof Hamka?! Tokoh ilmuwan agung Indonesia. Beliau seorang ilmuwan Islam yang menguasai berbagai bidang; tafsir, fekah, sejarah, politik bahkan sastera. Kebanggaan umat Nusantara. Karya-karyanya menjadi bacaan dan rujukan termasuk di negara kita ini.
Bahkan bukan sedikit pula yang memperolehi Ph.D kerana mengkaji karya-karyanya, khususnya Tafsir al-Azhar karangan beliau yang terkenal. Beliau seorang ilmuwan dan pemikir yang telah mengukir sejarah emas bagi dirinya. Manfaat dari perjuangan ilmunya dirasai oleh umat Islam di seluruh Nusantara.
- Prof Hamka
Seperti mana kebanyakan tokoh yang berjasa, mereka dikecam atau dimusuhi oleh pihak-pihak yang berkepentingan semasa hayat mereka, namun akan dikenang apabila mereka meninggal. Ini kerana, apabila seseorang tokoh itu muncul, hasad dengki turut muncul dalam jiwa sebahagian yang merasa mereka akan terpinggir, atau terancam. Mereka ini akan mencari jalan membuat fitnah dan onar bagi menghalang perjalanan atau perjuangan seseorang tokoh.
Demikian juga pihak yang tersentuh kepentingan mereka, akan bertindak balas merencana ‘perang’ menghadapi tokoh berkenaan. Namun apabila tokoh tersebut sudah tiada, yang hasad mungkin hilang atau berkurangan, yang rasa terancam sudah selesa atau turut meninggal dunia, maka penilaian waras akan dibuat dan jasa tokoh berkenaan akan dikenang.
Demikian Prof Hamka, semasa hayatnya beliau dituduh sesat oleh ulama konservertif Tanah Melayu dengan tuduhan ‘kaum muda’ dan ‘wahabi’. Semuanya hanya kerana ilmu yang disampaikan itu didengki, atau ada kepentingan pihak tertentu yang terganggu.
Al-Imam Al-Bukhari
Ini tidak pelik. Al-Imam al-Bukhari (194-256H) atau namanya Muhammad bin Ismail yang agung dalam hadis itu, semasa hayat dituduh menganut ajaran Muktazilah dan sesat, bahkan dikafirkan. Beliau terpaksa keluar meninggalkan negerinya Naisabur. Tuduhan bahawa beliau menyatakan al-Quran makhluk bukan sahaja mempengaruhi orang awam, bahkan mempengaruhi tokoh-tokoh ilmuwan hadis besar pada itu seperti Abu Hatim dan Abu Zur’ah. Tuduhan ini datang dari gurunya sendiri Muhammad bin Yahya al-Zuhli.
Apabila beliau berpindah ke Bukhara, beliau disambut hebat oleh penduduk negeri berkenaan. Malangnya, tokoh ilmuan yang hasad kepadanya itu menulis surat pula kepada Gabenor Bukhara: “Lelaki ini menonjolkan diri menyanggahi sunnah Nabi”. Lalu al-Imam al-Bukhari dikeluarkan dari Bukhara.
Menariknya, apabila ditanya al-Imam al-Bukhari tentang ujian itu, beliau menyatakan: “aku tidak peduli selagi agamaku selamat”. Kemudian sebahagian penduduk Samarkand menjemputnya ke negeri mereka. Namun berlaku perbalahan dan fitnah di kalangan penduduk, ada yang setuju beliau datang, ada yang membantah. Akhirnya bersetuju menerima kedatangan beliau, tapi ketika beliau menaiki kenderaannya itu menuju ke sana, beliau meninggal sebelum sempat ke Samarkand. Demikian kisah sedih akibat hasad dengki yang menimpa seorang imam yang agung al-Imam al-Bukhari (lihat: al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 12/453-464, Beirut: Dar al-Fikr).
Hidupnya dibuang orang, namun matinya tetap terbilang. Hari ini apabila orang membaca hadis, nama beliau disebut dan kekukuhan riwayat beliau dalam ‘Sahih al-Bukhari’ diakui oleh sekelian sarjana. Akidah al-Bukhari diakui sebagai akidah yang sahih dan benar, ilmunya diiktiraf dan jasanya dikenang. Namun siapa yang membaca sejarah perit perjuangan ilmu, tidaklah sangka demikian nasib yang menimpanya.
Prof Hamka
Kembali kita kepada kisah Prof Hamka. Ramai yang tidak mengetahui sejarah perjuangan beliau dan ayahnya Haji Rasul. Pernah dituduh kafir, sesat, wahabi, kaum muda dan berbagai lagi. Ini adalah resam kelompok yang menjaga kepentingan mereka, bimbangkan gerakan pembaharuan. Mereka bimbangkan kedudukan, aliran, jawatan, kepentingan dan pengaruh mereka hilang.
- Buku ‘Ayahku’ karangan Prof Hamka
Saya cadangkan pembaca membaca buku karangan Prof Hamka yang sekarang sudah ada di pasaran kita yang berjudul ‘Ayahku’. Antara dalam buku berkenaan Prof Hamka mencerita bagaimana ‘ulama-ulama tua’ (istilah digunakan Hamka) menentang kedatangan ayahnya ke Tanah Melayu pada tahun 1916. Kedatangan ayahnya ditentang oleh mufti-mufti Tanah Melayu.
Hamka memetik kata-kata ayahnya:
“Menjadi mufti dalam kerajaan-kerajaan melayu itu sangatlah megahnya. Memakai pakaian rasmi yang pakai polet, berpisang sesikat di bahu, jubah berukir-ukir benang emas, dan serban dari sutera dan berkereta sendiri. Rakyat pun sangat takut dan taat, sisanya dimakan, sepah sirihnya dikunyah, dan kalau beliau ingin hendak kahwin bismillah”.
Seterusnya Prof Hamka mengulas:
“Sebelum beliau datang telah keluar fatwa Syeikhul Islam (gelaran mufti-pen) itu menyatakan bahawa akan datang ke mari seorang ulama yang sesat lagi menyesatkan, wahabi, kaum muda, tidak percaya kepada ulama-ulama dan keluar dari mazhab Syafi’i. (m.s 160).
Prof Hamka menceritakan:
“Bahkan seketika terjadi pertemuan ulama Sumatera-Malaya yang diadakan Jepun pada tahun 1943 di Singapura, sengaja beberapa orang ulama Singapura menemui kami sebelum ke perjumpaan di mulai, menyatakan bahawa sekali-kali jangan dibawa ke mari fahaman-fahaman yang keluar dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan keluar dari Mazhab Syafi’i. Ketika ada kawan-kawan yang nakal memberitahu bahawa saya anak Haji Rasul, mata ulama itu ‘melotot’ serupa biji rambutan melihat saya dan saya pun jadi nekad pula sebagai mana nekadnya ayah saya. Takut benar ulama-ulama di sana pada waktu itu bahawa Mazhab Syafi’i akan berubah lantaran Kaum Muda Sumatera atau Muhammadiyyah di Jawa…alangkah sempitnya, perkara pakaian pun mereka kaitkan dengan mempertahankan berfikir dalam satu mazhab…tidak hairan, sebab feudalisme raja-raja di sana sebagai raja Islam, bersandar kepada ulama kolot yang mengutamakan taklid kepada ulama supaya rakyat taat kepada ulama, ertinya kepada raja, erti kepada Inggeris!” (m.s. 162).
Hasil perjuangan gerakan yang dituduh ‘kaum muda’ itulah yang membebaskan kejumudan pemikiran, kezaliman terhadap wanita oleh mahkamah syariah di Indonesia ketika itu. Dalam buku berkenaan Hamka telah menceritakan kesempitan pandangan golongan agama yang jumud sehingga menyiksa wanita dalam kes-kes penceraian.
Di bawah tajuk Nikah Si Kani (m.s. 171), Prof Hamka menceritakan perjuangan mereka menghadapi golongan pemikiran sempit. Namun, adat pejuang berbagai tuduhan dan fitnah dihadapi oleh ayahnya dan perjuangan mereka. Kalimat ‘wahabi, kaum muda, keluar mazhab, sesat, kafir dan berbagai lagi menjadi mainan ulama-ulama ‘lama’ ketika itu dalam menghadapi gerakan tajdid dan pembaharuan oleh Prof Hamka dan ayahnya.
Bacalah!
Bacalah buku-buku perjuangan dan pengorbanan, ia akan memberikan rangsangan dan semangat kepada sesiapa sahaja yang ingin meneruskan agenda dakwah dan pembaharuan umat. Sebab itu al-Quran mengubati perasaan Nabi s.a.w dengan kisah-kisah silam yang dapat menyedarkan tentang harga pengorbanan yang wajib dibayar dalam meneruskan agenda perubahan.
Firman Allah:
(maksudnya) Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu akan menyebabkan engkau (Wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah.Dan demi sesungguhnya, rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan Demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita rasul-rasul itu. Dan jika perbuatan berpaling mereka (keingkaran mereka) itu terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil”. (Surah al-An’am, ayat 33-35).
Pertentangan akan berlaku, sudah pasti, para nabi pun tidak dapat mengelakkannya, namun perjuangan akan terus berlangsung di setiap zaman. Tiada siapa yang dapat mengubah tabiat sejarah, tetapi kita boleh memilih dalam sejarah siapa yang ingin kita berpihak!
Sumber : Minda Tajdid
**JOM SERTAI PROGRAM BANTU MEMBANTU SESAMA INSAN.. SILA KLIK, TQ..***
.
Berita lewat: Gambar bogel bongkar rahsia isteri
30 minutes ago