.

Tuesday, 20 October 2009

Bagan Pinang berjaya cetuskan "Gelombang Ketiga" buat Pakatan Rakyat ! | Nizar News

Setelah melalui sembilan siri pilihan raya kecil selepas 'tsunami politik' 2008, Pakatan Rakyat akhirnya tewas di Bagan Pinang 11 Oktober lalu. Kekalahan PAS itu sudah dijangkakan. Bagaimanapun, bagi PAS misi utama mereka dalam pilihan raya kecil N31 itu adalah membawa gelombang ketiga menentang rasuah secara total selepas gelombang kedua (himpunan membantah ISA) dan pertama (himpunan Bersih).


Selaku Pengarah Induk Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang, Salahuddin Ayub turut mengakui bukannya mudah untuk perolehi kemenangan dalam pilihan raya yang penuh dengan taktik kotor. Untuk butiran lanjut, ikuti interbiu eksklusif TARMIZI MOHD JAM dan Wartawan SALMIYAH HARUN bersama beliau sehari selepas pilihan raya kecil itu.

Bagaimana saudara melihat justifikasi kekalahan PAS di Bagan Pinang?

Pada hari pertama lagi setelah saya diamanahkan untuk memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya N31 Bagan Pinang, saya nyatakan bahawa bukan perkara mudah untuk kita memenangi pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Kita adalah "under dog" yang akan cuba sebaik mungkin untuk melakukan kejutan. Namun begitu, apa yang saya dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, telah menjadikan pilihan raya ini sebagai suatu permulaan untuk kita mencipta satu momentum membina "mind set" rakyat untuk menolak rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan, dalam pilihan raya umum akan datang.

Kita telah membuat keazaman ini walaupun menyedari kita tidak boleh menang dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang. Kita menjadikan Bagan Pinang ini sebagai tempat bermulanya satu pembinaan "Gelombang Ketiga" yang diharapkan menjadi kenyataan dalam perjuangan Pakatan Rakyat khususnya untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Apa yang dimaksudkan dengan "Gelombang Ketiga" itu?

"Gelombang Ketiga" ini, saya maksudkan adalah ekoran dua gelombang sebelum ini telah berjaya dibentuk dan membina pemikiran rakyat Malaysia iaitu "Gelombang Bersih" yang kita laksanakan dengan jayanya dalam menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

Pada pilihan raya 2008 kita menyaksikan sedikit sebanyak kejayaan kita. Gelombang kedua ialah "Gelombang Mansuhkan ISA".
Kita percaya daripada ini kita minta kerajaan meminda dan menolak akta yang zalim ini. Selepas itu kita melihat beberapa indikator yang mana kerajaan terpaksa memikirkan respons terhadap tuntutan kita.

Akhirnya mahu tidak mahu kerajaan terpaksa mengkaji semula ISA. Mereka telah bercakap mengenai ISA malah terpaksa respons dengan tuntutan kita. Ekoran itu kerajaan pula membebaskan beramai-ramai tahanan ISA sebelum Hari Rayua Aidilfitri yang lalu. Ini adalah gelombang sedikit sebanyak kita berjaya cetuskan.

Tapi di Bagan Pinang ini, macam mana dikatakan "Gelombang ketiga" itu?

Gelombang ke tiga di Bagan Pinang ini untuk menolak sepenuhnya pemimpin rasuah dan penyalahguna kuasa. Pemilihan (Tan Sri) Isa Samad di Bagan Pinang walaupun popular tetapi Pakatan Rakyat telah berjaya menjadikan Isa Samad sebagai ikon rasuah dan telah memulakannya di sini.

Maksud saudara, walaupun PAS kalah, tapi ia jadi "tag line" untuk memacu kejayaan akan datang. Begitu?

Kita menjadikan isu rasuah ini isu nasional dan di harap "Gelombang Ketiga" ini akan dapat membantu kita dan menjadi suatu tema atau "tag line" menjelang pilihan raya umum akan datang. Ketiga-tiga gelombang ini ada kekuatannya. Walaupun PAS tidak berjaya di Bagan Pinang, tetapi dalam mengukur jangkaan kita tetap yakin dan akan berjaya.
PAS dan Pakatan Rakyat telah melaksanakan bersungguh-sungguh di Bagan Pinang dan ianya akan dapat dirasakan oleh rakyat untuk membina satu gagasan Malaysia yang lebih baik.

Setelah berdepan dengan beberapa pilihan raya, akhirnya BN berjaya pertahankan kubu mereka di Bagan Pinang. Umno mendakwa rakyat telah kembali menyokong mereka. Sejauh mana benarkah dakwaan itu?

Bermula dari jam 9 malam (selepas keputusan) saya mengikuti analisa dan pandangan politik yang boleh kita ambil hujah mereka. Saya turut mendengar hujah daripada bekas pimpinan Umno.

Mereka sebenarnya tidaklah begitu gembira dengan kemenangan BN itu. Semua pimpinan mereka mengatakan kemenangan itu bersifat sementara kerana Isa Samad tetap menjadi liabiliti kepada perjuangan Umno.

Malahan ada penganalisis politik, menjelaskan faktor kesementaraan kemenangan itu satu perkara yang perlu diperhitungkan oleh Umno/BN kerana ia tidak dapat menyelesaikan masalah sebenar Umno dalam jangka masa panjang.

Tapi rakyat umum melihat PAS atau Pakatan Rakyat sudah kecundang...

Walaupun kita kecundang di Bagan Pinang tetapi kita hanya tewas dalam pertarungan mendapatkan undi. Hakikatnya kita menang dalam satu peperangan besar iaitu memerangi rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Benarlah apa yang diperkatakan oleh Tengku Razaliegh Hamzah yang memberi komen beberapa hari sebelum membuang undi. Dia kata Umno boleh menang di Bagan Pinang tetapi hakikatnya Umno tewas dalam pertarungan memerangi rasuah. Ityulah hakikat yang tidak boleh disembunyikan Umno.

Dalam pilihan raya kecil itu, wujud pergaduhan dan ia dilihat pilihan raya paling kotor selepas 2008. Adakah ini satu propaganda atau benar-benar kotor?

Saya sebagai Pengarah Induk Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang yang sentiasa ada di sana, mengesahkann perkara ini. Kita akan dedahkan insiden ini sebagai analisa yang penting sepanjang pilihan raya Bagan Pinang.

Memang BN berjaya mewujudkan "fear factor" mereka. BN telah menjadikan Bagan Pinang ini tempat memperkenalkan budaya samseng. Pemuda umno yang dilatih ala komando dan kita telah mendapat satu maklumat yang sahih, bahkan kenyataan itu dikeluarkan sendiri oleh Exco Pergerakan Pemuda Umno iaitu Megat Fairus Megat Junid bahawa mereka memang bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan di Bagan Pinang.

Kotor kerana adanya unsur provokasi dan tindakan ala samseng Pemuda Umno?

Saya bersetuju bahawa ini adalah pilihan raya kecil paling kotor dan paling dicemari unsur-unsur keganasan yang boleh menimbulkan kekecohan serta suasana tidak tenteram, dan ini adalah satu fenomena baru bagi BN untuk menjustifikasi peranan mereka dalam pilihan raya akan datang.

Beberapa insiden telah dilaporkan, tapi sejauh mana tindakan samseng pemuda Umno mempengaruhi jentera pilihan raya PAS dan pengundi di sana?

Saya yakin dan percaya, suasana pergaduhan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab bertindak serta mengepung markas Pemuda PAS telah menimbulkan suasana takut, sekaligus memberi kesan kepada masyarakat Cina khususnya.

Bimbang dengan apa yang berlaku, akhirnya para pengundi tidak berani untuk tampil pada hari mengundi. Mereka berjaya lakukan untuk mewujudkan ketakutan itu. Seolah-olah keadaan tidak selamat.

Boleh saudara jelaskan insiden yang membabitkan tetakkan yang dikatakan dari Pemuda Umno terhadap penyokong PAS hingga menimbulkan kontroversi terhadap laporan berkenaan.

Ada lima report polis yang telah kita buat berhubung dengan insiden itu. Saya sendiri telah diminta oleh polis memberi keterangan dengan apa yang saya dedahkan. Jadi saya telah memberi kerjasama kepada pihak polis tentang kejadian itu.

Pada masa ini saya tidak bercadang untuk memberi apa-apa penjelasan kerana saya telah memberikan keterangan, saya tidak mahu mengganggu siasatan polis. Kita serahkan semua kepada pihak polis.

Sokongan pengundi India dan Cina terhadap PAS macam mana? Adakah pelbagai janji yang ditabur BN menjadi faktor sakti undi mereka berubah?

Saya mengakui bahawa faktor sokongan kaum India tidak kuat seperti dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu. Perpecahan di kalangan kaum India sendiri memang tidak dapat dinafikan begitu juga dengan penubuhan parti baru, Makkal Sakhti yang turut mempengaruhi sokongan kaum India kepada BN.

Ini ditambah dengan faktor gangster yang menghalang Pakatan Rakyat masuk ke ladang untuk menyampaikan maklumat kepada pengundi. BN berjaya menggunakan pendekatan samseng dan mengugut, akhirnya menyekat kita untuk sampai kepada pengundi.

Seriuskah Pakatan Rakayat menangani permasalahan pengundi India selama ini?

Saya rasa dalam jangka panjang Pakatan Rakyat perlu serius untuk memikirkan apakah Pakatan Rakyat dilihat benar-benar serius dalam memperjuangkan hak dan membela nasib kaum India bukan sahaja di Bagan Pinang tetapi di seluruh negara. Jangan kerana faktor ini kita hilang sokongan daripada mereka.

Pengundi Cina macam mana?

Orang Cina juga dikatakan tidak mengundi kerana ada di antara mereka yang tinggal di luar Bagan Pinang tidak balik mengundi kerana sibuk dengan kerjaya dan tidak merasakan penting untuk balik ketika pilihan raya kecil.

Mengapa PAS hanya mampu perolehi 601 undi undi pos, berbanding apa yang dicapai pada 2008 dulu? Kemerosotannya begitu ketara...

Isu undi pos bukan kerana kita dapat banyak atau sedikit jumlahnya. PAS akan meneruskan perjuangan. Kita akan mengkaji perkara ini. Pasukan khas undi pos yang diketuai Suhaizan Kaiat akan mengkaji balik sistem undi pos yang dipakai sekarang.

Saya tidak menolak kemungkinan kita akan buat petisyen jika kita ada bukti yang kukuh tindakan memanipulasikan unbdi pos oleh pihak tertentu.

PAS akan kemukakan petisyen terhadap keputusan Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang?

Ya. Kalau cukup bukti, kita akan kemukakan petisyen. Tetapi dalam pilihan raya kali ini, kita telah berjumpa SPR bermula pada sebelum hari penamaan calon dan pada hari berkempen lebih tiga kali. Kita buat tuntutan ke arah sistem undi pos mesti diubah
dan mesti direformasikan secara total supaya tidak berlaku sebarang manipulasi.

Bagaimana undi pos boleh dimanipulasikan?

Terlalu banyak keraguan yang boleh dimanipulasikan. Misalnya pada saat akhir pilihan raya akan berjalan barulah kita dapat beberapa kehendak kita ditunaikan. Itupun masih berlaku senarai daftar pemilih yang diberikan kepada kita tidak sama dengan yang dipamerkan dalam kem.

Tidak ada nombor siri dan tidak ada nama yang wujud dalam daftar asal. Semua tindakan ini telah menyulitkan 'poling agent' dalam membuat semakan.
Pegawai SPR di dalam kem pula tidak menyebut nama pengundi dengan kuat sebagaimana dalam proses untuk orang biasa. Di luar kem, kerani yang bertugas membaca dengan kuat serta menyebut nombor siri, no kad pengenalan dan nama seperti dalam mykad, untuk ditanda dalam daftar pemilih mereka. Tetapi semua itu tidak berlaku dalam kem, jadi ini semua terdedah kepada manipulasi.

Apakah Borang 2 masih diguna pakai?

Masih digunapakai. Borang 2 ini menimbulkan ketakutan pemilih undi pos. Kita turut dedahkan dalam perjumpaan kita dalam SPR. Isu nama-nama mereka yang bakal pencen semua menyukarkan anggota tentera membuang undi. Proses ini diakui oleh SPR termasuk 253 daftar pemilih yang bertindih membuatkan pengundi boleh mengundi dua tempat.
Walaupun kali ini tidak berlaku dua undi kerana hanya ada satu pilihan raya tetapi perkara ini dibimbangi akan berulang dalam pilihan raya akan datang.

Mengundi di dua tempat? Ini boleh dilakukan pada pilihan raya umum...

Ya. Mengundi di dua tempat. Semua ini isu jangka panjang. Orang yang sama boleh mengundi di Bagan Pinang tetapi dalam masa yang sama boleh balik ke Kota Bharu untuk mengundi terutama dalam pilihan raya umum.

Kita akan bermula dengan serius selepas Bagan Pinang ini. Saya menyatakan memang banyak manipulasi yang boleh menimbulkan keraguan dan mempersoalkan ketelusan pilihan raya.
Justeru, kita sedang mengadakan perbincangan dengan pasukan peguam kita. Saya tidak menolak kemungkinan ada bukti yang nyata kita akan buat petisyen.

Adakah dengan kemenangan BN ini disebabkan faktor "1Malaysia" dan beberapa perubahan yang dijayakan Perdana Menteri sejak menjadi orang nombor satu negara?

Mungkin saya boleh menyatakan berdasarkan faktor kesementaraan yang berkesan dalam jangka masa pendek. Biasalah bagi mana-mana tokoh yang mengambil alih teraju negara mereka ada masa yang diberikan oleh rakyat untuk melakukan perubahan tetapi sejauhmana faktor itu berkesan?

Dari sudut jangka panjang Pakatan Rakyat juga perlu serius untuk memikirkan apakah langkah-langkah dan agenda untuk kita teruskan pada masa hadapan. Itu sebagai contoh rakyat di Bagan Pinang memberikan undi mereka kepada BN kerana slogan "1Malaysia".

Mengapa Isa Samad yang sudah terpalit dengan rasuah masih menjadi pilihan BN dan juga pengundi di Bagan Pinang?

Mereka tidak ada pilihan. Bagi mereka Isa Samad adalah yang terbaik. Sebab itu walaupun gagal kita buktikan kejayaan dalam bentuk undi dan mandat di Bagan Pinang, yang penting visi dan misi kita berjaya dalam melonjakkan isu rasuah ini dalam gelombang nasional.

Perjuangan akan diteruskan oleh Pakatan Rakyat. Faktor Isa sebagai orang lama di situ juga memberikan kemenangan kepada BN. Tetapi pada hakikatnya BN tidak bergembira dengan kemenangan itu kerana mereka tahu itu hanya bersifat sementara. _Detikdaily

Panas !!! :PAS sanggah Aziz Bari.. | Nizar News

Saya hormat beliau sebagai seorang yang hebat dalam bidang perundangan. Beliau yang hanya sebagai ahli akademik tidak sama dengan orang yang duduk di medan perjuangan. Melebelkan seorang dalam kepimpinan PAS ada yang pro Umno adalah tuduhan yang berat.

Apa asas beliau mengatakan pimpinan PAS pro Umno (Sinar Harian 19/10/09). Adakah semata-mata kerana buat rumah terbuka orang umno datang maka orang ini dianggap pro umno. Kalau itulah tuduhan yang tidak ada fakta yang kuat amat malanglah sebagai seorang ahli akademik.

Perlu diingat PAS sebagai sebuah parti yang besar dan matang dalam sepak terajang politik, pernah berada di dalam Kerajaan persekutuan (BN) dan pernah hanya menang 1 kerusi Parlimen sahaja dalam pilihanraya umum.

Sebagai parti yang dihormati oleh kawan dan lawan, parti yang ada prinsip, yang tidak pernah hanyut oleh suasana dan keadaan. Setiap perubahan yang hendak dibuat kita mengambil kira aspek hukum yang dipandukan kepada Al-Quran, Hadis, Ijma’ dan Qias. PAS bukan parti yang ikut suasana dan peralatkan agama untuk kepentingan politik. PAS tidak pernah khianat kawan dalam apa keadaan sekalipun.

Prof Aziz boleh lihat tidak ada sejarah PAS meninggalkan kawan dalam apa-apa keadaan. Kalau Tuan Guru Haji Hadi Awang gila sangat dengan umno, kenapa beliau menolak awal-awal lagi pelawaan Dato’ Seri Abdullah Badwi membentuk kerajaan bersama Umno selepas PRU 2008. Kalau beliau gila sangat dunia beliau tidak korbankan ijazah sarjana (MA) di awal tahun 1970 an. Kalau beliau hendak dunia lebih baik beliau menjadi ahli akademik, sewaktu itu berapa orang sangat yang ada kelulusan MA di negara ini.


PAS bertahalluf dengan parti yang berlainan ideologi adalah hasil ijtihad ulamak Pas yang bersandarkan hukum. Untuk pengetahuan Prof Aziz bukan senang hendak meyakinkan penyokong PAS berkenaan dengan tahalluf politik dengan bukan Islam.

Bukan senang hendak menyuruh ahli PAS memangkah DAP, kerana selama ini kita telah diajar tidak boleh menyokong calon bukan Islam. Orang yang membuat kertas kerja tahalluf ini ialah Tuan Guru Haji Abdul hadi Awang dan dibawa ke dalam majlis syura ulama’ dan diluluskan.

Begitu juga ketika PRK Bukit Selambau Kedah kerana sudah ada di kalangan mereka yang tidak mahu membantu calon PKR dalam pilhanraya kecil tersebut kerana beliau ialah calon bukan Islam. Tuan Guru Presiden terpaksa dua kali buat perjumpaan dengan petugas di PRK Bukit Selambau.

Dalam soal kenyataan mengenai politik di Selangor seolah-olah Presiden berdiam diri, adalah tidak betul. PAS ada cara tersendiri dalam menyelesaikan masalahj ini. Kita tidak perlulah memberi tahu kepada Prof apa yang kita buat. Sepatutnya Prof kena tanyalah kepada orang yang berkenaan, jangan kumpul maklumat berdasarkan blog semata-mata. Kita tidak menggunakan media umno, untuk menyelesaikan masalah parti dan Pakatan Rakyat. Bila musuh pernah ehsan dengan PAS dan Pakatan Rakyat, kenapa hendak mendedahkan hal keluarga dalam media.

Bukan senang untuk mentadbir sebuah parti politik yang berbagai ragam. Tadbir parti PAS bukan mentadbir sebuah fakulti di universiti. Kerana mentadbir pensyarah yang makan gaji, walaupun pelajar bodoh atau tidak lulus periksa, gaji dan pangkat tetap naik.

Berbeza dengan memimpin PAS kalau kalah dalam pilihanraya maka akan dituduh pro umno, otak tertutup, ulama’ tidak bijak berpolitik dan segala macam yang tidak sedap didengari. Sebagai sebuah gerakan ummah yang ahlinya berbagai ragam manusia dan pemikiran.

Berapa banyak mereka yang tewas dalam memimpin PAS, akhirnya terpaksa berundur dari perjuangan. Kerana tidak tahan dengan tekanan, masalah peribadi, kekangan kewangan dan ada yang lompat bersama dengan Umno kerana hendak berjaya dengan cepat.

Menuduh Presiden PAS dan beberapa orang pimpinan PAS yang pro Umno satu tuduhan yang berat. Ingat kalau dakwaan ini tidak benar ia akan memberi kesan di hari akhirat nanti. Kalau ada dakwaan bahawa Presiden PAS sokong Umno dan menjadi ejen Umno, sila kemukakan dengan bukti. PAS adalah sebuah parti yang berdisiplin dan ada jawatankuasa tatatertib boleh diambil tindakan kalau ada laporan yang berupa pengkhianatan terhadap PAS. PAS pernah mengambil tindakan kepada bekas Yang Dipertua Pas Dato Asri Haji Muda pada tahun 1983 kerana melanggar tatatertib parti.

Sebagai seorang Prof dan ahli akademik janganlah mengambil data di tepi jalan yang tIdak ada kesahihan. Biarlah tuduhan ini dibuat oleh mereka yang tidak bergelar Prof.

Memanglah menjadi ahli akdemik senang membuat hipotesis daripada bilik berhawa dingin.Tetapi menjadi ahli politik pembangkang berat lagi mata memandang maka berat lagi bahu memikul.

Kita janganlah menjadi penganalisa politik yang tidak terjun medan, waktu kalah semua hendak menuding jari. Sewaktu menang di tujuh PRK tidak ada pula komen mengatakan pimpinan PAS cerdik, apabila kalah semua buat tuduhan.

Prof Aziz tahu atau tidak keadaan demografi Bagan Pinang. Beliau pergi atau tidak ke kawasan pilihanraya tersebut. Berjumpa atau tidak dengan masyarakat pengundi Bagan Pinang. Tahu atau tidak berapa ahli cawangan PAS dan dan ahli umno di kawasan itu. Keadaan di Bagan Pinang kalau Prof Aziz Bari bertanding pun akan kalah. . Dalam politik ini kita tidak boleh bergantung kepada undi ayunan semata-mata. Ia perlu juga kepada kekuatan asas parti.

Jawatankuasa PAS Pusat telah membentuk jawatankuasa post mortem yang dipengerusikan oleh Saudara Mohd Sabu. Post Mortem yang dibuat oleh PAS lebih hebat lagi daripada setengah kajian-kajian yang dibuat. Kerana kajian kita lebih mendasari hingga ke akar umbi. Sebab itu tidak perlulah kita menyalahkan sesiapa pun dalam hal ini.

Tengok dulu post mortem. Memang sedap mengkritik seperti penonton bola untuk mengkritik pemain yang berada di tengah padang bola sepak. Tetapi betapa peritnya mereka yang berada di tengah padang. Allahlah yang Maha Mengetahui. Hendak memberi markah siapa pemimpin PAS yang layak memerintah adalah mudah, belum tentu kita boleh berjuang sepanjang nafas mereka yang memimpin PAS sekarang. _KLpos.com

Bahasa Melayu merempat di tempat sendiri !!! | Nizar News

Kerajaan menekankan peri pentingnya memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan walaupun hakikatnya ia tidak dipraktiskan sepenuhnya dalam pentadbiran dan komunikasi rasmi. Malah gagasan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri tidak diiringi dengan satu bahasa untuk semua kaum. Wartawan, NYZA AYOB mencungkil pandangan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Profesor Dr Nor Hashimah Jalaluddin mengenai isu ini. Beliau ditemui di pejabatnya di Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ikuti butirannya.

Dalam gagasan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, kita dapati tidak ditekankan tentang 1Malaysia ‘Satu Bahasa’. Apakah Perdana Menteri kita terlepas pandang tentang perkara ini?

PROF DR NOR HASHIMAH: Betul, saya melihat konsep ‘Satu Bahasa’ tidak disebut dalam slogan tersebut. Apa makna konsep 1Malaysia jika tidak disertai dengan ‘Satu Bahasa Kebangsaan’?

Sewaktu Perdana Menteri di Paris baru-baru ini, beliau ditanya oleh seorang pelajar, apa konsep 1Malaysia jika tidak diserta dengan satu bahasa kebangsaan. Dalam akhbar tempatan berbahasa Inggeris, disiarkan jawapan yang diberikan Perdana Menteri iaitu kita mestilah meneruskan warisan sekolah-sekolah bukan pengantar Melayu sebab dikatakan itu kononnya merupakan warisan Perdana Menteri yang lama-lama.
Dia lupa daripada segi sejarahnya. Jika kita baca Penyata Razak, pada 1956 dikatakan semua sekolah menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Laporan Razak ini dibuat bukan berdasarkan satu pendapat.

Tetapi ia dibuat oleh wakil masyarakat Cina, India dan wakil kerajaan Komanwel serta wakil kerajaan British yang membentuk Akta 152 itu. Jadi Laporan Razak mengatakan semua sekolah mesti menggunakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

Mana-mana sekolah yang tidak menggunakan bahasa Melayu dan silibus negara kita tidak diberikan bantuan. Sebab itu apabila diubah Akta 1995 di mana sekolah-sekolah yang tidak menggunakan Bahasa Melayu dibenarkan dan lahirnya banyak sekolah menengah Cina dan diberikan bantuan, ia tumbuh bagai cendawan.

Jadi, kita hendak marah macam mana sebab akta itu pemerintah yang luluskan. Jadi bagaimana hendak ditekankan konsep 1Malaysia ‘Satu Bahasa Kebangsaan’.

Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan sudah banyak kali diadakan. Dan kali ini kerajaan mengisytiharkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan. Apakah Prof. yakin kempen kali ini berjaya memberi kesedaran tentang kepentingan Bahasa Kebangsaan ini?

Jika dahulu saya melihat pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan ini agak meriah dan melibatkan setiap negeri. Tetapi kali ini saya melihat kempen ini kurang diuar-uarkan.

Hampir setiap tahun Persatuan Linguistik Malaysia terlibat dengan kempen Bulan Bahasa Kebangsaan ini. Tahun ini, sekali lagi persatuan telah atur satu program iaitu syarahan Raja Ali Haji yang kita lakukan saban tahun.

Pemidato bergilir-gilir antara Malaysia dan luar negara. Tahun lepas Indonesia dan tahun ini kami telah mengundang Profesor Di Raja Ungku Aziz yang akan bercakap mengenai pantun dan akal budi Melayu. Sepatutnya ia diadakan pada penghujung Oktober, iaitu sewaktu kempen Bulan Bahasa. Bagaimanapun atas sebab-sebab tertentu ia terpaksa ditangguhkan kepada 4 Disember.

Malaysia sudah lebih 50 tahun menyambut kemerdekaannya. Tidakkah dalam tempoh ini kita masih tidak berjaya mendidik masyarakat menggunakan bahasa kebangsaan?

Jika sudah 50 tahun kita menyambut merdeka dan kita masih ingin melaksanakan Bulan Bahasa Kebangsaan saya rasa ini sangat tidak patut. Sebab bahasa kebangsaan ini sudah menjadi hak semua. Bukannya perkara yang harus diingati dalam masa sebulan sahaja. Ini seoalah-olah Bahasa Melayu belum menyerap sepenuhnya dalam sanubari rakyat Malaysia.

Mungkin Prof mempunyai pengalaman yang berbeza berbanding generasi hari ini dalam merealisasikan bahasa kebangsaan antara kaum?

Jika saya boleh imbau balik sewaktu saya belajar di UKM pada 1980-an, kawan-kawan perbincangan saya adalah orang Cina dan India, tanpa merasa canggung. Tetapi sekarang saya lihat di universiti-universiti, keadaan agak berbeza.

Kelompok Cina sesama mereka, kelompok India sesama mereka dan begitu juga kelompok Melayu. Saya berasakan situasi seperti ini berlaku kerana sistem pendidikan kita hari ini berjalan bukan secara bersepadu tetapi selari.

Maksud selari ialah sekolah Cina menggunakan bahasa Cina, sekolah kebangsaan menggunakan bahasa Melayu dan sekolah India menggunakan bahasa Tamil. Apabila kita mengizinkan sekolah menengah dalam bahasa pengantar Mandarin, ramai yang memilih untuk ke sekolah Cina.

Jadi, bagaimana kita hendak pupuk integrasi antara Melayu, Cina dan India?

Melayu dan India mungkin akan bergabung apabila naik tingkatan satu, tetapi Cina ada yang memilih sekolah kebangsaan dan ada yang memilih ke sekolah Cina.
Jadi, bila hendak integrasi apabila semua bahasa berjalan secara selari. Sedangkan bahasa dalam satu negara yang menjadi bahasa kebangsaan secara bersepadu. Ini menyebabkan kita berfikir sama ada bahasa kebangsaan ini tidak diterima atau tidak dihayati oleh populasi rakyat Malaysia.

Adakah Bulan Bahasa Kebangsaan ini dilihat seperti sambutan hari-hari penting dalam negara seperti Hari kebangsaan?

Apabila adanya Bulan Bahasa Kebangsaan ini seolah-olah seperti satu sejarah sebagaimana memperingati bulan kemerdekaan atau memperingati tokoh. Jadi, Bulan Bahasa Kebangsaan ini seolah-olah seperti sejarah dan bukan hendak menyemarakkan semangat penggunaan bahasa Melayu.

Siapa yang mencetuskan kempen Bulan Bahasa Kebangsaan ini?

Kempen Bulan Bahasa Kebangsaan ini merupakan cetusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ia dicetuskan supaya rakyat terus menerus menggunakan bahasa kebangsaan. Pengisian program semuanya berasaskan bahasa Melayu.

Tetapi ia diadakan sepanjang tahun. Tujuan DBP itu saya sokong sebab hendak memastikan bahasa kebangsaan melekat di hati rakyat. Saya pernah ditanya wartawan mengenai penubuhan Pusat Pengajian Bahasa Melayu di kedutaan Malaysia di luar negara supaya orang asing dapat belajar Bahasa Melayu.

Mengapa bahasa Melayu Indonesia lebih popular?

Saya mengatakan bahawa kita kena belajar hendak menjual bahasa ini dengan Indonesia. Indonesia yang paling serius mengetengahkan bahasa Melayu. Kita menumpang kejayaan bahasa Melayu itu dengan Indonesia. Hampir semua tempat di dunia yang mengajar Bahasa Melayu ialah Indonesia.

Mungkin Prof ada pengalaman dengan penuntut asing…

Saya pernah menjadi koordinator Bahasa Melayu untuk penuntut asing. Pelajar saya datangnya dari Australia, England, Amerika, Jepun, Korea dan beberapa negara lain. Mereka suka belajar bahasa Melayu di sana dan mengatakan betapa susahnya untuk mendapatkan tempat belajar bahasa Melayu di Malaysia.
Lebih mudah untuk mencari kolej yang menawarkan bahasa Inggeris. Sedangkan kami datang untuk belajar bahasa Melayu. Komen ini harus dipandang serius. Bahasa Melayu di luar negara banyak dikendalikan oleh tenaga pengajar Indonesia.

Apakah Kedutaan Malaysia di luar negeri tidak membantu memmasarkan bahasa Melayu Malaysia ini?

Apa yang berlaku Kedutaan Malaysia tidak serius dalam membantu mempromosikan bahasa Melayu. Pernah apabila delegasi dari DBP pergi ke Australia untuk penyelidikan, mereka bertembung dengan perayaan bahasa Melayu dan turut serta.

Semua kakitangan kedutaan Indonesia menolong membantu menampal poster dan menjayakan perayaan ini. Tetapi pihak kedutaan kita tidak begitu. Di Melbourne sahaja terdapat beberapa universiti yang ada pengajaran bahasa Melayu Indonesia.

Ini menunjukkan betapa bahasa tersebut boleh diterima oleh penduduk luar negara. Tetapi bahasa Melayu kita tidak. Saya juga sempat membuat penyelidikan dan bertanyakan soalan kepada penuntut di Australia.

Saya bertanyakan jika diberi peluang mereka ingin belajar bahasa Melayu Malaysia atau bahasa Melayu Indonesia?

Dan jawapan yang diberikan ialah bahasa Melayu Indonesia. Sebab mereka tidak kenal bahasa Melayu Malaysia ini. Selain itu, jawapan yang diberikan kenapa mereka memilih bahasa Melayu Indonesia kerana mereka suka mempelajari budaya Indonesia termasuk bahasanya.

Apakah ini bermakna orang luar langsung tidak berminat untuk mempelajari Bahasa Melayu?

Berdasarkan pengalaman saya, ada antara usahawan daripada negara luar seperti Taiwan yang berminat untuk mempelajari Bahasa Melayu. Apabila ditanya kenapa mereka berminat untuk mempelajari Bahasa Melayu? Jawapan yang diberikan, apabila mereka ingin mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia, mereka harus mempelajari bahasa kebangsaan di sini.

Ini bermakna, ada di luar sana yang minat dengan bahasa kita. Tetapi kenapa kita dekat sini tidak berapa memberikan perhatian serius kepada bahasa kebangsaan.

Maksudnya pihak kerajaan di Malaysia?

Mungkin orang marah apabila saya mengeluarkan kenyataan ini. Tetapi lihatlah keadaan bahasa Melayu kita, merempat. Akta Majlis Kerajaan Tempatan menyatakan iklan-iklan hendaklah menggunakan Bahasa Melayu tetapi boleh diterjemahkan ke bahasa lain dengan huruf yang lebih kecil berbanding Bahasa Melayu.

Tetapi lihat apa yang berlaku. Papan-papan iklan banyak ditulis dengan Bahasa Inggeris malah Mandarin dengan langsung tidak menggunakan bahasa Melayu. Ucapan sambutan majlis hari raya pun ditulis dalam bahasa Inggeris.

Sumber: Detikdaily

PAKATAN RAKYAT BEBAS RASUAH ! | Nizar News

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI), Indeks Persepsi Rasuah Malaysia bagi tahun 2008 merudum jika dibandingkan dengan tahun 2007. Pada tahun 2007, Malaysia menduduki tangga ke-43. Kedudukan Malaysia jatuh ke tangga ke-47 pada tahun 2008.

Harus diingat bahawa kedudukan memalukan itu lebih teruk daripada dua buah negara mundur di dunia, iaitu Botswana dan Bhutan. Botswana menduduki tempat ke-36, manakala Bhutan menduduki tempat ke-45.

Malaysia jauh ditinggalkan oleh Denmark, New Zealand, Sweden, dan Singapura yang menduduki empat tempat teratas. Sehubungan itu, kualiti, kredibiliti, dan integriti para pemimpin Malaysia berada pada tahap yang rendah walaupun negara ini bertaraf negara Islam dan mempunyai sebuah suruhanjaya khas bagi menangani rasuah, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jurang antara para pemimpin Malaysia dengan para pemimpin Singapura terlalu jauh, macam langit dengan bumi. Kata golongan muda, "Pemimpin Malaysia poyo saja yang lebih, tapi tak ada kelas langsung!!!"

Namun demikian, tahniah perlu diucapkan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang dipuji oleh TI kerana berusaha keras membanteras rasuah. Rakyat Pulau Pinang perlu berbangga kerana mempunyai sebuah kerajaan yang berkualiti, berkredibiliti, dan berintegriti.

Di samping itu, Pakatan Rakyat boleh menarik nafas lega hasil daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, iaitu Datuk Liew Vui Keong. Liew memberitahu Dewan Rakyat bahawa sepanjang tempoh dari Januari hingga Ogos 2009, terdapat 13 ahli politik yang disiasat oleh SPRM (12 dari BN dan 1 dari PR). Dari jumlah tersebut, 7 pertuduhan telah direkodkan untuk BN, manakala tiada sebarang pertuduhan untuk PR.

Kenyataan itu menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat bebas rasuah. UMNO/BN terus menjadi juara dalam bidang rasuah. Rakyat Malaysia patut mengalihkan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat, bukannya kepada parti yang menjadikan rasuah sebagai satu ciri utama gagasan 1 Malaysia!!! _PenaMutiara

Shafie Apdal salah guna kuasa Projek BELB ! | Nizar News

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua hari ini mendedahkan dakwaan penyalahgunaan kuasa Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Mohamad Shafie Apdal dalam pemberian Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Sabah dan Sarawak.SELANJUTNYA KLIK

MISTERI KOTAK HITAM !!! : Mesti Baca.. | By Nizar

SUE tidak pernah ambil kisah mengenai satu kotak hitam misteri milik suaminya yang tersorok di bawah katil mereka. Sudah 20 tahun kotak hitam itu disitu satu hari ketika membersihkan bilik, Sue tidak dapat menahan perasaan ingin tahu isi kandungan kotak hitam itu .

Sue terperanjat dan hairan apabila dalam kotak hitam itu ada tiga biji telur ayam dan wang tunai RM 3000. Dia cuba menyelesaikan misteri itu dengan bertanya kepada suaminya "Kenapa abang letak 3 biji telur ayam di bawah katil kita? "

Suaminya terperanjat beruk tetapi masih mampu menjawab " sayang , setiap kali abang curang kepada mu, abang letak satu telur ayam sebagai tanda penyesalan " .

Sue terdiam tetapi mampu mengawal kemarahannya kerana tiga kes curang dalam tempoh 20 tahun mereka bersama masih boleh dimaafkannya. Kemudian sue bertanya lagi : " Tapi abang kenapa ada duit RM 3000 ? "

Dengan suara terketar-ketar suaminya menjawab, "Setiap kali cukup sedozen abang jual telur ayam tu dan duit abang letak dekat situ ".

KUPON BERAS ST15 : NOBISHA | Nizar News

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Seri Noh Omar mengumumkan seramai 200,000 keluarga miskin dan Orang Asli akan menerima kupon RM10 bagi melayakkan mereka membeli beras gred ST15 (15 peratus hancur) yang berharga RM24 pada kadar RM14.

Menurut beliau, sebanyak 43,500 keluarga miskin tegar berpendapatan RM450 sebulan di bandar dan RM420 di luar bandar akan diberi kupon bagi 30 kilogram beras percuma setiap bulan, manakala lebih 150,000 keluarga yang berpendapatan RM1,500 sebulan (bandar) dan RM1,000 (luar bandar) pula akan menerima tiga kupon subsidi masing-masing bernilai RM10 setiap enam bulan sekali.

Menurut beliau, pemberian kupon khas itu adalah menggantikan sistem pemberian subsidi beras kepada pengilang dan pemborong beras yang bernilai RM60 juta sebulan.

Kata Noh lagi, pemberian kupon akan disalurkan menerusi semua anggota Parlimen termasuk daripada parti pembangkang.

Dari segi prinsipnya, saya menyambut baik sebarang usaha membantu golongan miskin dan terpinggir. Bagaimanapun, saya fikir elok juga kerajaan memikirkan perkara-perkara berikut sebelum melaksanakannya:

(1) Bantuan ini hanya sampai kepada 200,000 keluarga miskin dan Orang Asli.

Adakah seramai itu sahaja keluarga miskin di negara ini? Bagaimana pula dengan mereka yang tidak masuk dalam senarai tersebut? Walau bagaimana baik sekalipun senarai penerima bantuan, pasti akan ada keluarga yang layak, tetapi tercicir. Mereka terpaksa membeli beras ST15 tanpa subsidi seperti sekarang.

(2) Kupon ini ialah bagi menggantikan subsidi beras bernilai RM60 juta sebulan.

Apabila subsidi ini ditarik, harga beras ST15 akan dijual pada harga pasaran (tanpa subsidi). Apakah kesannya kepada golongan miskin (sama ada yang tidak mendapat kupon atau kupon yang diberikan itu tak mencukupi untuk bekalan keluarga) dan terpaksa membeli beras ST15 di pasaran tanpa subsidi?

(3) Pemberian kupon akan disalurkan menerusi semua anggota Parlimen termasuk daripada parti pembangkang.

Dari satu sudut, baguslah pembangkang dilibatkan sama; tak timbul soal diskriminasi berasaskan parti politik. Persoalannya ialah mengapakah pemberian bantuan ini diberikan melalui saluran politik. Bukankah lebih baik ia disalurkan melalui agensi-agensi kerajaan yang ditubuhkan bagi tujuan itu?

Itulah soalan-soalan yang saya dengar di kedai-kedai kopi. Saya fikir elok kerajaan menjelaskan isu-isu yang disebutkan di atas. Ia adalah wajar agar niat yang baik membuahkan hasil yang baik._BICARA NOBISA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist