.

Saturday 3 October 2009

Sokong ISA Bukti UMNO Sukar Berubah : Bagan Pinang | Nizar News

Oleh ABU FIRDAUS

ISA Samad dianggap Menteri Besar Negeri Sembilan yang hebat. Bertahun-tahun beliau memimpin Negeri Sembilan dan berjaya membawa kemenangan kepada BN di negeri itu walaupun diserang Parti Semangat 46 dan Parti Keadilan Nasional. Bagi BN, Isa adalah antara tokoh politik yang berjaya. Beliau hanya tumbang bukan ditolak rakyat tetapi parti sendiri yang sedang dalam proses membersihkan diri daripada politik wang. Sesuatu amalan yang tidak dianggap jenayah tetapi hanya peraturan dalam parti

Sememangnya kalau rakyat hendak kembali kepada cara lama BN mentadbir negeri dan negara ini, maka pilihlah Isa supaya Negeri Sembilan dan Malaysia dari segi jangka panjangnya tidak akan berlaku perubahan.

Tetapi hakikatnya suasana sudah berubah. Cara Umno-Bn selama 50 tahun sudah tidak sesuai. Umno-BN juga sudah sedar tentang perkara ini. Sebab itu, mereka berusaha juga melakukan perubahan.

Slogan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan merupakan antara tanda komitmen pucuk pimpinan Umno-BN hendak berubah. Memang sukar untuk berubah, tetapi mereka sedar dan sedang diusahakan walaupun dihalang ahli dan penyokong sendiri.

Sama ada tuntutan perubahan ini di atas kesedaran hakiki bukan soalnya. Tetapi untuk terus menang, memang diperlukan perubahan ini.

Maka apabila Isa dipilih, ia menunjukkan betapa sukarnya Umno-BN hendak berubah. Ahli dan pendukungnya tidak dapat menerima perubahan ini. Mereka mahu cara lama, dengan itu isa dipilih sebagai calon.

Ini memang ciri-ciri Umno. Di satu pihak mereka mahu berubah, tetapi dari segi lain, mereka tidak mampu berubah.

Umno sendiri ditubuhkan pada 1946 dalam keadaan terpaksa. Ketika itu dunia sedang berubah. Perjuangan kemerdekaan merupakan gelombang yang tidak dapat ditahan-tahan. Orang Melayu yang sedar di Malaysia telah menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) untuk memperjuangkan kemerdekaan.

Tetapi banyak orang Melayu masih mahu hidup dalam sistem kolonial sebelum perang. Mereka ingat setelah Perang Dunia Kedua, British akan balik dan memulihkan negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu.

Mereka terkejut apabila gagasan Kesatuan Malaya (Malayan Union) diutarakan. Maka Umno ditubuhkan adalah untuk mengembalikan negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu. Pada asasnya mereka tidak mahu berubah.

Begitu juga pada 1969. Dunia sedang berubah. Rakyat tidak dapat menerima sebuah negara yang hanya pada nama saja merdeka, iaitu dari segi politik.

Tetapi haklikatnya kekayaan dan harta negara dipegang penjajah yang turut mempunyai kuasa dan pengaruh dalam bidang ketenteraan, dasar luar dan ekonomi.

Umno di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman tidak mahu berubah. Akhirnya calon Perikatan banyak yang kalah. Rakyat menuntut perubahan. Maka pemimpin Umno dan Perikatan, Tun Razak Hussein melaksanakan perubahan yang dapat diterima rakyat. Beliau menggagaskan BN. Sungguhpun begitu, ciri Umno yang sukar untuk berubah tetap ada.

Selepas Tun Razak, dan diikuti Hussein dan Dr Mahathir Mohamad, kebebasan yang diharapkan rakyat tidak muncul. Malah tekanan yang lebih kuat.

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Penerbitan dan Mesin Percetakan dan Akta Universiti dan Kolej Universiti adalah antara undang-undang yang menghalang kebebasan.

Akhirnya kongkongan ini meledak juga dalam keputusan pilihan raya umum 8 Mac 2008. Rakyat tidak boleh terima cara pentadbiran Umno-BN. Tetapi keadaan ini tidak dapat terlihat kerana tekanan-tekanan. Apabila perubahan teknologi berlaku hingga menjadikan undang-undang lama tidak berupaya menyekat.

Maka gelombang perubahan berlaku yang melanda dari Kedah di Utara hingga ke Selangor di Selatan. Tetapi tempiasnya sampai ke Negeri Sembilan apabila BN hanya menang tipis untuk menubuhkan kerajaan negeri. Namun begitu, kawasan Dun Bagan Pinang teguh dengan watak politik lama.

Maka adalah tidak menghairankan bahawa banyak penduduk Bagan Pinang yang kelihatan menyambut baik pencalonan Isa sebagai calon BN. Pihak Pakatan Rakyat yang diwakili PAS tidak dapat melakukan apa-apa jika pengundi memlih cara lama. Namun pilihan raya kecil ini merupakan peluang bagi PAS menunjukkan kepada pengundi Bagan Pinang bahawa politik masa depan adalah pada Pakatan Rakyat.

Jika dilihat PAS sendiri, walaupun sebuah parti lama, dan tertua dalam Pakatan, ia merupakan sebuah pertubuhan yang progresif dan mampu berubah.



Sememangnya pada mulanya ia adalah Biro Agama Umno. Tetapi ia asalnya merupakan kumpulan yang menyokong Dato' Onn Jaafar dalam persaingan dengan ahli-ahli Umno lain.

Onn, yang juga pengasas Umno adalah seorang yang progresif. Beliau mempunyai wawasan jangka panjang tetapi tidak dapat diterima ahli Umno.


Dengan tidak bersetuju Umno di bawah pimpinan Tunku, Biro Agama Umno ini keluar dan menubuhkan Persatuan Islam Se-Tanah Melayu yang kemudian menjadi PAS. Di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmy, PAS tidak ada masalah untuk berubah dan ia muncul parti progresif mewarisi PKMM, serta sanggup bekerjasama dengan Parti Rakyat Malaya pimpinan Ahmad Boestamam.

PAS berani berubah. Ia ikut memahami rentak rakyat dan menyertai BN pada 1974 dan kemudian sanggup dikeluarkan pada 1978. PAS tidak ada masalah untuk berubah.

Apabila gelombang kebangkitan gerakan Islam, PAS muncul sebagai wadah yang ampuh dan tegas walaupun ditolak pengundi dalam pilihan raya umum 1986.

Pilihan Isa oleh Umno adalah pandangan ke belakang oleh BN. Masa depan adalah pada Pakatan dan PAS merupakan parti penting yang mencorakkan pemikiran baru yang progresif dan berjiwa muda.

Mungkin masih berlaku percanggahan dalam parti, tetapi komitmen untuk perubahan kepada keadaan yang lebih baik dan menarik ada pada jiwa PAS. Orang seperti Isa tidak ada tempat dalam parti-parti masa depan di negara ini._BERANI KERANA BENAR
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Bloglist