Tuesday, 6 October 2009

PERANG DI BAGAN PINANG !!!.. | Nizar News

Aku amat tertarik dengan artikel yang ditulis oleh Ahmad Lutfi Othman yang bertajuk Perang masa depan dengan zaman silam di Bagan Pinang di HarakahDaily hari ini.

Bacalah.....dengan mata hati...


Nampak sangat, dengan memilih Isa Samad sebagai calon BN di Bagan Pinang, gabungan parti itu memang cukup terdesak untuk menang, melalui apa jua cara, pada 11 Oktober nanti.

Hanya Isa dilihat mampu menjamin kemenangan BN buat pertama kali dalam siri lapan pilihan raya kecil sejak 8 Mac 2008 di Semenanjung, meskipun ramai orang menggeleng kepala dengan keputusan pimpinan tertinggi Umno itu.

Ia juga mendedahkan amalan buruk dalam Umno, iaitu memboikot jentera kempen parti sendiri jika calon pilihan tidak tersenarai, masih berterusan.

Semua maklum bahawa Isa bukan pilihan Najib Razak dan Muhyiddin Yassin namun kedua-duanya sedia berkompromi asalkan BN menang. Malah, veteran Umno seperti Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah sejak awal mengingatkan bahaya besar menunggu parti berkenaan jika memilih tokoh yang terbukti mengamalkan politik wang seperti Isa.

Bagaimanapun, nasihat itu tidak dihiraukan ahli-ahli Umno. "Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini. Kalau pun dia (Isa) boleh menang di situ, kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno," kata Dr Mahathir kepada Bernama.

"Memang sukar PAS di menang di Bagan Pinang terutama kerana besarnya undi pos. Kalau menang, ia satu bonus istimewa buat PAS, yang bakal menghancurkan terus imej BN," kata seorang profesor sains politik sebuah universiti tempatan. "Tapi misi PAS dan Pakatan Rakyat harus berbeza daripada Umno-BN. PAS harus melihat kesan jangka panjang, yakni pilihan raya umum ke-13 nanti. Biarkan Umno dengan keghairahan jangka pendek, bermati-matian sekadar untuk menang pilihan raya kecil ini walaupun reputasinya rosak teruk menjelang pilihan raya umum akan datang."

"Sebenarnya banyak hal yang lebih penting, yang perlu segera ditangani pimpinan Pakatan, selain berusaha memenangi Bagan Pinang. Sebagai parti yang diharap menerajui perubahan, PAS perlu membersihkan dirinya daripada sebarang persepsi buruk rakyat. Kalau pun hendak bergaduh sesama parti dalam Pakatan, biarlah melibatkan isu-isu besar, seperti usaha membanteras rasuah dan mempromosi keadilan sejagat, bukan perkara remeh-temeh yang boleh dikaitkan dengan kepentingan diri atau kelompok masing-masing," panjang juga profesor berkenaan meleteri saya bila diminta mengulas situasi di Port Dickson.

Beliau mahu pimpinan tertinggi PAS lebih agresif dan proaktif memberikan respons terhadap tuntutan perubahan yang terbukti gagal ditangani Perdana Menteri. "Jangan menyerahkan hanya kepada pimpinan peringkat pertengahan untuk bersuara lantang menyuarakan hak rakyat," tambahnya.

Selain itu, dengan memilih Isa, jelas Najib begitu desperate untuk menang dan melupakan beliau terhadap dakwaannya yang mahu memberikan tumpuan utama dalam pemerintahannya dan gembar-gembur KPI-nya untuk memerangi rasuah.

Sudahlah akhir-akhir ini operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih berperanan sebagai agen BN untuk memporak-peranda serta akhirnya menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat, seperti yang berlaku di Perak dan cuba diusahakan dengan giat di Selangor.

Tepat sekali kata Lim Kit Siang bahawa pertarungan di Bagan Pinang adalah antara politik masa lalu dengan politik masa depan, yakni antara politik lama yang dipenuhi rasuah, kezaliman dan kongkongan dengan politik baru yang mengungguli integriti, keadilan dan kebebasan.

Memilih Isa bermakna meletakkan Umno-BN sama dengan kedudukannya pada pilihan raya 8 Mac 2008, sekali gus mengukuhkan tanggapan rakyat, khususnya generasi muda dan terpelajar, bahawa sememangnya Umno-BN memang terlalu sukar untuk berubah walaupun sudah ada usaha untuk berbuat demikian.

Memburukkan lagi keadaan, pimpinan Umno termasuk Isa sendiri seperti mahu bermain-main dengan istilah. Bagi mereka, sabit dengan kesalahan politik wang hanya bercanggah dengan kod etika pemilihan parti tetapi tiada kena mengena dengan jenayah rasuah. SPRM pula senyap seribu bahasa walaupun Ketua Pesuruhjayanya, Ahmad Said Hamdan pernah menegaskan bahawa amalan membeli atau menjual undi, yang disebut politik wang itu sebenarnya adalah satu kesalahan rasuah.

Walaupun orang ramai melihatnya sebagai politik wang tetapi kepada SPRM, bagi Ahmad Said, ia adalah rasuah. Tegasnya, SPRM akan mengambil tindakan terhadap mana-mana parti politik yang terlibat dalam rasuah. Namun, realitinya, siapalah yang masih menaruh harapan kepada SPRM untuk membebaskan negara tercinta ini daripada amalaan keji itu? _HarakahDaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)