Wednesday, 7 October 2009

Guru saman pengetua RM228,000 | Nizar News

KUANTAN - Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Jalan Gambang di sini mengemukakan saman RM228,000 terhadap pengetua sekolah terbabit kerana didakwa menjejaskan reputasinya.

Rozilah Abdullah, 37, yang memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen di sini melalui Tetuan Balkhis Alias & Co pada 12 Ogos lepas menamakan pengetua, Aluwiyah Osman sebagai defendan.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada semalam, namun Hakim Hassan Abdul Ghani kemudian menetapkan 5 November ini sebagai sebutan semula selepas wakil Pejabat Peguam Negara memohon tempoh masa untuk memfailkan pernyataan balas terhadap tuntutan saman berkenaan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Rozilah mendakwa pada 24 Julai tahun lepas, defendan memalukannya di hadapan guru lain dengan menuding jari ke arahnya serta menyatakan beliau enggan mematuhi perintah defendan.

Rozilah mendakwa defendan telah membuat satu laporan terhadapnya dan berikutan itu seorang kaunselor daripada Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan memanggilnya ketika beliau sedang mengajar memaklumkan satu laporan telah dibuat terhadapnya.

Rozilah, yang telah bertugas selama 13 tahun sebagai guru, mendakwa akibat laporan defendan, beliau telah menerima surat bertarikh 13 Februari 2009 yang menyatakan tiada pergerakan gaji bagi beliau untuk tahun 2009. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)